Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Karangan
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu
Pendahuluan
Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu
menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam
hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk
mendapatkan isi karangan. Namun demikian kebiasaannya murid menghadapi
masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka
selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar
menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi
tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu
perenggan dengan perenggan yang lain.
Murid-murid
juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati
jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali
berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang
daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga
biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada
pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada
teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi
karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu
akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau
mengembangkan isi karangan.
Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan
yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa,
terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan
berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang
panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4
soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid
menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis
karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang
diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan
mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh yang demikian,
proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah
karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. Ikatan 2 Hati (IKTHH- Isi, Kesan, Tindakan, Hasil, Hubung kait) - Formula Dr. Ghazali Lateh
Contoh perenggan pendahuluan
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan
utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan
berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa
manusia yang terkorban. (K) Oleh itu pihak berkuasa telah meningkatkan
usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya seperti penguatkuasaan
undang-undang melalui “ops sikap” dan juga kempen keselamatan jalan
raya. (T) Diharapkan jumlah kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan
setelah langkah-langkah yang berkesan diambil oleh pihak berkuasa. (H)
Oleh yang demikian usaha pihak berkuasa itu perlu diteruskan bukan
sahaja pada musim perayaan malah pada hari-hari biasa untuk mengurangkan
kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (H)
(96 perkataan)
ii. Ismail Kena Cium Lembu Hitam (IKCLH – Isi, Kesan, Contoh, Langkah, Hasil)
Contoh perenggan pendahuluanTerdapat
projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju
perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan
pembeli–pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut
jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang
berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang
dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Oleh itu pihak berkuasa
perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang bersikap
seperti “harapkan pagar, pagar makan padi” ini untuk mengatasi masalah
tersebut sebelum menjadi lebih serius. (L) Diharapkan langkah tersebut
akan dapat mengatasi masalah yang terpaksa ditanggung oleh pembeli rumah
yang hendak berpindah ke rumah sendiri. (H) (96 perkataan)
2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)
Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap
pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan
perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga
mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun
memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan
pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya
kemalangan. (Ba) Oleh yang demikian, pengguna jalan raya perlulah
berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar
kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan
pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk
baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)
ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)
Contoh perenggan isiSalah satu
punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya.
(Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang
dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan
ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan
mereka ketagih terhadap dadah.
iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)
Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal
ini demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan
peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita
bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti
sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak,
badminton, hoki, dan berjoging. (C)
3. Penutup/kesimpulan
i. Rasa Cinta Aku Pasti Hilang (RCAPH – Rumusan, Cadangan, Ancaman,
Harapan) - Formula Dr. Ghazali Lateh (saya tambah dengan P iaitu
peribahasa)
Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak
berkuasa di negara kita. (R) Oleh yang demikian pihak berkuasa perlulah
mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen
tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga
melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah
Rasuah. (C) Hal ini demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi
sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera
pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima
padahnya.(A) Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah
daripada mengubati sesuatu penyakit.(P) Jadi, kita semua berharap agar
masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau
menjadi lebih serius. (H) (102 perkataan)
ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)
Contoh perenggan kesimpulanKesimpulannya
semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di
negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa
dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H)
Dengan cara itu masalah jenayah ini diharapkan dapat dikurangkan dan
dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya hal ini membolehkan
masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan
harmoni.(H)
Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid
dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik.
Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan
dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan
perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian
dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat
dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu murid-murid juga dinasihatkan
agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu
proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut
digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian,
majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik dan
sebagainya. Selain itu murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak
berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi
masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba
formula yang dicadangkan ini.
SUMBER: http://khirkassim.blogspot.com/2008/06/teknik-mengolah-karangan-stpm.html